JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas pelajar universiti rayu hukuman mati kes bunuh teman wanita hamil

KLANG – Seorang bekas pelajar universiti yang dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh dan membakar mayat teman wanitanya yang sedang hamil dua tahun lalu di Sabak Bernam, memohon agar hukuman berkenaan diringankan.

Tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, melalui peguamnya Muhammad Nor Tamrin, telah memfailkan notis rayuan bagi menyemak semula hukuman mati itu di Mahkamah Rayuan pada 20 Oktober lalu menerusi firma guaman Tetuan M. Nor & Partners.

Menurut dokumen mahkamah, rayuan itu difailkan bagi mencabar keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Norliza Othman, pada 15 Oktober lalu yang mendapati tertuduh bersalah membunuh teman wanitanya yang hamil sebelum dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Muhammad Nor ketika dihubungi media memaklumkan anak guamnya kini ditahan di Penjara Kajang sementara menunggu tarikh pendengaran rayuan ditetapkan.

Dalam penghakimannya, Norliza menyifatkan jenayah dilakukan tertuduh sebagai kejam dan dirancang, bukan tindakan spontan.

“Perbuatan tertuduh bukan sahaja menghilangkan nyawa mangsa, tetapi turut meragut nyawa bayi dalam kandungannya yang berusia 18 minggu,” memetik NST online.

Laporan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendedahkan kesan terbakar hampir pada keseluruhan tubuh mangsa, selain perutnya koyak hingga menampakkan organ dalaman.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu sehingga terjatuh sebelum menyeretnya ke tepi longkang. Dia kemudian mengambil pisau dari dalam kereta, menikam perut dan mengelar leher mangsa.

Dalam rayuan mitigasi, peguam bela mendakwa anak guamnya telah menjadi mangsa keadaan dan menegaskan bahawa ujian DNA oleh Jabatan Kimia menunjukkan janin 18 minggu yang dikandung mangsa bukan milik tertuduh.

Fakrul Aiman sebelum ini dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada 1 Jun 2023 atas kesalahan membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau, Sabak Bernam antara jam 8.30 malam, 22 Mei hingga 8 pagi, 23 Mei 2023.

Mahkamah Tinggi pada 15 Mei tahun lalu membenarkan tertuduh dirujuk ke pakar psikiatri, sebelum beliau menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah pada 29 September tahun ini.

Siasatan turut mendapati tertuduh dan mangsa menjalin hubungan selama setahun dan sering bergaduh akibat kehamilan luar nikah yang cuba disembunyikan daripada keluarga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button