BERITA SEMASADALAM NEGERI

78,863 calon ditawar tempat di universiti awam – JPT tegas proses telus berasas merit

PUTRAJAYA – Seramai 78,863 calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM dan Diploma/Setaraf ditawarkan tempat di universiti awam (UA) untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda bagi sesi kemasukan kali ini.

Menurut Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), jumlah itu adalah daripada 109,866 calon yang layak memohon melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA).

JPT menegaskan, proses pemilihan dijalankan secara telus berasaskan prinsip meritokrasi dengan penilaian 90 peratus daripada pencapaian akademik dan 10 peratus daripada kokurikulum.

“Setiap permohonan ditapis mengikut markah merit, syarat am, syarat khas program, hasil temu duga atau ujian jika diperlukan, selain mengambil kira kekosongan tempat serta keutamaan pilihan.

“Kementerian telah memberi jaminan bahawa semua calon STPM/setaraf yang memperoleh PNGK 4.00 ditawarkan tempat di UA.

“Sejumlah 1,255 calon dalam kategori ini telah memohon, di mana 1,249 daripadanya sudah mendapat tawaran manakala enam lagi sedang melengkapkan dokumentasi,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan media Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT hari ini.

Bagi menjawab dakwaan seorang calon STPM yang telah membuat pengaduan kepada seorang ahli Parlimen, pelajar berkenaan sebenarnya telah ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka tanah air, iaitu pilihan kelima yang dimohonnya.

“Calon tersebut tetap mendapat tawaran berdasarkan merit dan pilihan program yang dipohon, sama seperti calon lain.

“Semua keputusan UPUOnline dijana sistem secara automatik tanpa campur tangan, sekaligus menolak dakwaan wujud kelompongan dalam proses sedia ada,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, JPT menyatakan pihaknya sentiasa terbuka menerima pandangan bagi penambahbaikan sistem.

“Bagi calon yang tidak berjaya, kaunter konsultasi rayuan UPUOnline dibuka sehingga 12 September 2025 di Ruang Legar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button