Pendawaian tak ikut SOP, Dr. Akmal bimbang keselamatan pelajar SMK Dang Anum
MERLIMAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Akmal Saleh, menyuarakan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan kerja naik taraf pendawaian elektrik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, yang menurutnya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga mencetuskan kebakaran awal pagi semalam.
Menurut beliau, kerja pendawaian yang dilakukan didakwa melibatkan sambungan elektrik atau looping yang meragukan dan berpotensi menyebabkan sistem ‘overflow’ dan kejadian litar pintas.
“Kalau kerja tak ikut SOP, looping sambungan pun tak kemas, sistem boleh jadi overload.
“Nasib baik berlaku pukul 5 pagi. Kalau ketika pelajar berada dalam kelas, kita tak tahu apa yang boleh terjadi,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian hari ini.
Akmal turut mempersoalkan siapa kontraktor sebenar yang dilantik menjalankan kerja naik taraf tersebut, memandangkan beberapa pihak yang bertanggungjawab tidak hadir di lokasi semasa lawatannya.
“Saya bukan nak cari salah sesiapa, tapi bila keselamatan pelajar terancam, kita kena tegas.
“Kontraktor utama pun tak datang. Saya cuma nak pastikan benda ini tidak berulang,” katanya lagi.
Beliau menegaskan akan menggunakan semua saluran yang ada, termasuk berurusan dengan pihak Kementerian Pendidikan dan agensi teknikal berkaitan bagi memastikan siasatan penuh dilakukan dan keselamatan pelajar diutamakan.
Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Zaidi Maat, siasatan awal mendapati tiada unsur sabotaj, sebaliknya kejadian berpunca daripada litar pintas ketika kerja naik taraf pendawaian sedang dilakukan.
“Setakat ini, kita dapati tiada unsur khianat. Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas,” katanya lagi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.36 pagi, tingkat atas blok bangunan SMK Dang Anum mengalami kebakaran dengan kira-kira 5 peratus kerosakan pada struktur bumbung dan 50 peratus kandungan bilik musnah.
Tiada kecederaan dilaporkan dan kejadian berlaku sebelum waktu persekolahan bermula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








