BERITA SEMASA

Kerajaan Selangor teliti semula SOP tangkapan haiwan liar susulan kes anjing mati

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menyemak semula prosedur operasi pengurusan haiwan liar di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan insiden kematian seekor anjing ketika operasi tangkapan haiwan berkeliaran di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, Rabu lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, semakan itu meliputi aspek latihan petugas, prosedur operasi standard (SOP) serta kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berkesan, selamat dan berperikemanusiaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius kejadian berkenaan kerana keselamatan awam dan kebajikan haiwan perlu diberi perhatian secara seimbang.

“Setiap operasi penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara profesional, berhemah serta mematuhi undang-undang dan prosedur operasi yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil maklum tindakan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang membuat laporan polis berhubung insiden itu, sekali gus membawa kepada pembukaan kertas siasatan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

Katanya, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional, selain menggesa semua pihak menghormati proses berkenaan serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Dalam pada itu, Ng berkata kerajaan negeri menjunjung titah dan kenyataan Tengku Permaisuri Selangor yang menekankan kepentingan sifat belas ihsan terhadap haiwan serta prinsip bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang.

Beliau berkata, nilai berkenaan akan terus dijadikan asas dalam pelaksanaan dasar serta tindakan kerajaan negeri, yang kekal komited memelihara keselamatan masyarakat di samping memperkukuh amalan kebajikan haiwan dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti serta profesionalisme institusi kerajaan.

Terdahulu, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing ketika operasi menangkap haiwan berkeliaran di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu.

Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai mempunyai unsur khianat terhadap haiwan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button