135 tangkapan kes LGBT antara tahun 2022 hingga 2025 – Menteri Agama
KUALA LUMPUR – Kerajaan merekodkan sebanyak 135 tangkapan membabitkan kes lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, statistik itu diperoleh hasil penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri.
“Sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan isu LGBT yang direkodkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam Negeri adalah sebanyak 135 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah tangkapan serta tindakan yang diambil terhadap individu terlibat dalam kes berkenaan.
Menurut beliau, pengendalian kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri selaras dengan Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Dr. Zulkifli menegaskan, penguatkuasaan jenayah syariah tidak hanya tertumpu kepada kes LGBT semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai salah laku lain termasuk musahaqah (lesbian), liwat serta lelaki berlagak wanita dalam kalangan orang Islam.
Katanya, tindakan tidak semestinya berakhir dengan tangkapan semata-mata, sebaliknya individu yang disyaki terlibat tetapi tidak mempunyai bukti mencukupi turut dikenakan langkah susulan.
“Antara pendekatan diambil ialah pemberian nasihat, sesi kaunseling serta arahan menghadiri kursus kesedaran dan pemulihan berkaitan kesalahan yang bertentangan dengan akhlak serta ajaran Islam sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan turut melaksanakan pelbagai program dakwah dan kursus khas bagi membimbing golongan berkenaan ke arah perubahan positif.
Selain itu, bantuan sokongan turut disediakan termasuk pendedahan kepada peluang pekerjaan serta galakan menceburi bidang keusahawanan sebagai usaha membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







