Mohamad Sabu persoal kesetiaan politik BN dalam Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mempersoalkan komitmen dan kesetiaan politik UMNO serta Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan susulan beberapa perkembangan politik yang disifatkannya menjejaskan semangat kerjasama antara parti-parti gabungan kerajaan.
Mohamad berkata, persahabatan politik tidak boleh dipelihara oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kepercayaan dan komitmen dua hala.
Menurutnya, AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) telah menunjukkan kesediaan untuk bertolak ansur serta mempertahankan kerjasama politik sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 2022.
Beliau merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila BN dan PH bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meskipun sebelum itu terdapat harapan agar rundingan pembahagian kerusi dapat dicapai.
Mohamad berkata, beliau boleh menerima keputusan mana-mana parti untuk bertanding secara solo, namun mempersoalkan tindakan pimpinan BN Johor yang mengalu-alukan sokongan penyokong Pas kepada calon BN di beberapa kawasan.
“Di Putrajaya kita duduk satu kerajaan, tetapi dalam pilihan raya negeri, sokongan daripada parti yang menjadi lawan utama Kerajaan Perpaduan boleh diterima untuk mengalahkan calon daripada rakan kerajaan sendiri.
“Bagi saya, itu sudah melampaui persaingan biasa antara kawan,” katanya dalam satu hantaran penutup siri tulisan beliau di laman Facebook hari ini.
Beliau turut membangkitkan kemelut politik di Negeri Sembilan apabila UMNO negeri mengumumkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April lalu.
Menurutnya, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana semangat Kerajaan Perpaduan yang dibina bersama masih dipertahankan oleh semua pihak.
Mohamad turut berkata, AMANAH sentiasa berusaha menjaga hubungan dengan rakan politik termasuk ketika bekerjasama dengan parti-parti yang sebelum ini menjadi lawan politik mereka.
“Parti itu sanggup membantu kempen calon rakan gabungan, mempertahankan kerajaan serta berkompromi dalam soal pembahagian kerusi demi memastikan kestabilan politik.
“Persoalannya ialah adakah pengorbanan dan kesetiaan itu berlaku dua hala?” katanya lago.
Beliau berkata, kerajaan boleh dibentuk melalui jumlah kerusi yang mencukupi, namun perpaduan dan persahabatan politik hanya dapat dipertahankan melalui kepercayaan antara rakan gabungan.
Mohamad turut menyerahkan kepada rakyat untuk menilai pihak yang benar-benar menjaga semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan pihak yang didakwanya gagal berbuat demikian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








