BERITA SEMASA

Politik prestasi lebih penting daripada politik identiti – Saifuddin

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpandangan perdebatan politik negara perlu beralih daripada politik identiti kepada politik prestasi agar rakyat dapat menilai pencapaian sebenar sesebuah kerajaan dalam menangani isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Beliau berkata, selepas hampir 69 tahun negara mencapai kemerdekaan, politik yang berasaskan sentimen kaum dan agama tidak lagi wajar dijadikan teras persaingan kerana ia tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, politik identiti merupakan satu bentuk persaingan yang tidak menghasilkan kemenangan kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya mengekalkan perpecahan.

“Kita sudah merdeka selama 69 tahun. Tiba-tiba kita masih lagi mahu bertarung menggunakan tajuk-tajuk lama. Bagi saya, itu politik yang destruktif.

“Politik identiti ialah satu zero-sum game. Tidak ada pemenang. Tidak mungkin saya dan Parti Keadilan Rakyat boleh mendakwa kami lebih Melayu daripada UMNO atau Bersatu.

“Begitu juga saya tidak boleh mendakwa lebih Islam daripada PAS kerana itu memang niche mereka sebagai sebuah parti Islam.

“Jadi, siapa yang menang? Ia tetap zero-sum game,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini. .

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kenyataannya mengenai politik prestasi dan kualiti mempunyai kaitan dengan proses pengundian awal yang berlangsung esok.

Menjawab pertanyaan itu, Saifuddin menegaskan kenyataannya tidak merujuk kepada pengundian awal, sebaliknya merupakan pandangan umum mengenai hala tuju politik negara.

“Oh, esok undi awal ke? Saya pun tak follow. Tetapi mesej saya tadi langsung tidak merujuk kepada undi awal esok. Ia adalah mesej yang bersifat umum,” katanya.

Saifuddin berkata, rakyat sepatutnya menilai kerajaan berdasarkan keupayaannya menyelesaikan isu kemiskinan, penyalahgunaan dadah dan pelbagai masalah sosial lain, bukannya terus terperangkap dalam polemik identiti.

Beliau memberi contoh bahawa negeri yang merekodkan kadar kemiskinan tinggi turut berdepan kadar insiden dadah yang tinggi, sekali gus menunjukkan keutamaan perlu diberikan kepada penyelesaian isu-isu asas yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Kalau kita membawa perbahasan kepada politik prestasi, rakyat akan mendapat keadilan. Kenapa kemiskinan masih serius? Kenapa kelemahan-kelemahan lain masih berlaku?

“Kalau hendak bercakap tentang Melayu dan Islam terancam, orang Melayu sebenarnya terancam apabila kemiskinan terus bermaharajalela. Itulah yang saya maksudkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kenyataan tersebut dibuat bagi menjawab soalan media pada sidang akhbar dan bukan sebahagian daripada kempen politik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button