Proses telus, JPP PKR nafi abaikan aduan berkait pemilihan parti
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR 2025 menafikan dakwaan pihaknya tidak mengendahkan aduan dan bantahan yang dikemukakan berhubung kononnya wujud kepincangan dalam pemilihan parti.
Timbalan Pengerusi Merangkap Pengerusi Biro JPP, Datuk Paduka Ahmad Kasim berkata, segala proses berkaitan senarai pengundi bagi Pemilihan 2025 dijalankan secara telus dan berlandaskan peraturan sedia ada.
Beliau berkata, senarai keanggotaan digunakan adalah senarai terkini yang diterima daripada Pejabat Setiausaha Agung dan senarai itu diberikan selepas melalui proses pengesahan eKYC secara menyeluruh, sebelum dikemaskini sebagai senarai pemilih yang sah.
“Jadi kenyataan yang mendakwa JPP tidak mengendahkan aduan dan bantahan yang dikemukakan adalah tidak benar dan amat dikesali.
“JPP ingin menegaskan bahawa setiap aduan dan bantahan yang diterima sudah diberi perhatian serius serta ditangani secara profesional, adil dan mengikut lunas peraturan.
“Untuk makluman, Peraturan Pemilihan Parti sudah diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 23 Februari dan disahkan oleh Biro Politik pada 3 Mac, yang mana kedua-dua badan ini dianggotai oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan ini dibuat susulan beberapa kenyataan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, menerusi program podcast Yang Bakar Menteri, Yang Berhenti Menteri? berkaitan pengurusan Pemilihan PKR 2025, semalam.
Ahmad berkata, peraturan itu secara jelas menetapkan bahawa setiap bantahan atau rayuan hendaklah disertakan bukti yang mencukupi dan beban pembuktian terletak pada pihak yang mengemukakan bantahan atau rayuan itu.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan Pemilihan 2025, JPP sudah menerima sejumlah 289 bantahan dan aduan yang merangkumi pelbagai peringkat termasuk pencalonan, bantahan terhadap pencalonan, rayuan, pemuktamadan senarai calon, kempen dan proses pengundian.
“Semua aduan itu sudah diteliti dengan cermat dan sebahagiannya dirujuk kepada Pejabat Setiausaha Agung serta Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan lanjut berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
“Setiap aduan yang dikemukakan oleh anggota sudah diberikan maklum balas rasmi berhubung keputusan dan pertimbangan JPP, selaras dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Jelasnya beliau, segala perkembangan penting berkaitan Pemilihan 2025 juga dilaporkan secara berkala kepada MPP dan mustahil perkara ini tidak diketahui dalam pengetahuan mana-mana anggota MPP termasuk Rafizi.
“JPP juga meneliti bantahan keputusan pengundian selepas tamat pemilihan peringkat cabang dan dibentangkan dalam mesyuarat MPP, kemudian disemak semula keputusan enam cabang oleh juruaudit antarabangsa yang dilantik MPP bagi mewakili semua segmen isu berkaitan keputusan pengundian cabang yang dibangkitkan.
“Laporan juruaudit antarabangsa disebarkan oleh Rafizi membuktikan sistem epengundian berada dalam keadaan baik, selamat dan tiada bukti terdapat manipulasi dan penyelewengan.
“JPP akan terus menggalas tanggungjawab ini dengan penuh iltizam untuk memastikan proses pemilihan parti dilaksanakan secara adil, bebas, bersih, telus dan berintegriti, sehinggalah selesai sepenuhnya dan parti menerima barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2025–2028,” katanya sambil memuji komitmen dan integriti tinggi seluruh anggota JPP, khususnya kepada Pengerusi JPP 2025, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








