PM jamin peruntukan pertahanan dalam Belanjawan 2027 ditingkatkan
MELAKA – Kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuh sektor pertahanan negara menerusi peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu penting kerana keamanan negara merupakan aset paling bernilai yang perlu dipelihara secara berterusan.
Menurut beliau, aspek pertahanan tidak boleh dipandang ringan memandangkan ancaman boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.
“Meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara perlu dilaksanakan setiap masa, kerana pertempuran itu tidak berlaku dalam keadaan diduga. Kita tidak menunggu umpamanya ada negara isytihar perang, baru kita hendak berpeluh.
“Sebab itu juga, saya mahu mempertahankan kaedah pembelian, perolehan senjata dan alat ketenteraan secara teratur, telus, elak daripada apa istilah yang orang tidak suka iaitu istilah ‘sakau’, beli guna agensi-agensi di luar dengan komisen yang lebih,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan Bersama ATM di Kem Terendak, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penambahan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan bukan sahaja melibatkan perolehan aset dan kelengkapan ketenteraan, malah memberi keutamaan kepada kebajikan anggota melalui penambahbaikan kuarters, pembinaan hospital baharu serta penyelenggaraan kemudahan asas termasuk bekalan air
“Sebab itu, Kerajaan MADANI dalam tempoh tiga tahun lalu, kita menaikkan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan 35 peratus lebih tinggi daripada sebelumnya.
“Ini bukannya angka kecil. Cuma, ia tidak diketahui. Sebab itu, saya beritahu kadang-kadang anak-anak harus tahu. Orang boleh bicara kita nak sokong, kita beri kerjasama, kita beri perhatian. Tapi perhatian apa kalau kelengkapan itu (dibiarkan) buruk, kalau cara perolehan itu penuh dengan kontroversi,” katanya.
Beliau berkata, kemampuan kerajaan untuk terus meningkatkan peruntukan sektor pertahanan didorong oleh prestasi ekonomi negara yang semakin kukuh, termasuk pengukuhan nilai ringgit, pertambahan pelaburan asing dan kadar inflasi yang kekal terkawal.
Mengikut takwim Dewan Rakyat, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober depan.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM147,000 kepada Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT), selain dana RM1 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan masjid dan surau di empat kem tentera di Melaka iaitu Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








