JS-SEZ catat pelaburan RM37 Bilion, tarik pelaburan luar biasa – PM
PUTRAJAYA – Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik serantau apabila berjaya menarik pelaburan berjumlah RM37 bilion bagi separuh pertama tahun 2025.
Jumlah itu mewakili 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan di negeri itu yang bernilai RM56 bilion bagi tempoh sama, sekali gus menunjukkan momentum luar biasa JS-SEZ dalam menarik minat pelabur antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkembangan positif itu dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MOA) ke-35 Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut meneliti kemajuan pelaksanaan JS-SEZ termasuk sektor berpotensi, kesan pelaburan semasa serta langkah memperkukuh fasilitasi pelaburan, khususnya melalui Zon Kewangan Khas Forest City.
Setakat ini, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) telah berjaya menarik minat 104 pelabur berpotensi dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM29.51 bilion.
Anwar turut menegaskan bahawa pembangunan pesat di Iskandar Malaysia perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memastikan kemudahan asas disediakan secukupnya bagi menyeimbangkan kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
“Pembangunan di Iskandar Malaysia mesti diselarikan dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi agar tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus kemakmuran,” katanya.
JS-SEZ dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi selatan tanah air, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura dalam bidang perdagangan, pelaburan serta teknologi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








