PMX

Sumbangan PM ringankan beban 1,000 keluarga sambut Deepavali

KUANTAN – Seramai 1,000 penerima daripada masyarakat India sekitar Indera Mahkota, khususnya golongan kurang berkemampuan termasuk pelajar sekolah daripada keluarga B40, menerima baucar membeli-belah bernilai RM200 setiap seorang bagi membantu persiapan menyambut Deepavali.

Sumbangan menerusi program Cahaya Deepavali MADANI Indera Mahkota itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, di Pasaraya Ten Ten, Bukit Ubi, di sini semalam.

Ahmad Farhan berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat menceriakan keluarga penerima, khususnya anak-anak daripada golongan memerlukan, selain memberi peluang kepada mereka menikmati kemeriahan perayaan bersama insan tersayang.

“Mungkin nilainya tidak seberapa, namun saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan keluarga yang memerlukan, memberikan kegembiraan kepada anak-anak serta membolehkan mereka turut merasai kemeriahan Deepavali bersama insan tersayang,” katanya menerusi kenyataan.

Setiap penerima menerima baucar membeli-belah Pasaraya Ten Ten bernilai RM200, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali pada 8 November ini.

Farhan berkata, Deepavali bukan sekadar perayaan yang diraikan dengan cahaya dan warna-warni, sebaliknya membawa makna besar kepada masyarakat Hindu sebagai simbol kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan serta keadilan mengatasi kezaliman.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan pihak pengurusan Ten Ten atas kerjasama serta komitmen menjayakan program berkenaan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran yang bersama-sama meraikan penerima bantuan pada program berkenaan.

Ahmad Farhan berkata, inisiatif itu mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama serta budaya.

“Tiada siapa yang harus tertinggal daripada menikmati kegembiraan dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat India yang meraikannya, sambil berharap perayaan itu membawa kebahagiaan, kedamaian dan keberkatan kepada setiap keluarga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button