Peniaga kenakan caj tersembunyi berdepan denda hingga RM100,000
KUALA LUMPUR – Peniaga yang mengenakan caj tersembunyi sehingga harga sebenar melebihi harga dipaparkan boleh berdepan denda sehingga RM100,000, selain hukuman penjara bagi kesalahan tertentu, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peniaga diwajibkan memaparkan harga barangan dan perkhidmatan yang merangkumi semua cukai, duti serta caj lain yang dikenakan, bukannya hanya memaklumkan kos tambahan pada peringkat akhir transaksi.
Beliau berkata, kewajipan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 10B(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan pengguna mengetahui harga sebenar sebelum membuat keputusan pembelian.
Katanya, amalan mengenakan caj tambahan atau tersembunyi bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan hak pengguna untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat harga yang telus.
“Ini bermakna pengguna hendaklah dapat melihat harga yang perlu dibayar dan bukan hanya mengetahui kewujudan caj-caj tertentu di peringkat akhir transaksi,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai tindakan membendung caj tambahan atau tersembunyi yang hanya dimaklumkan pada peringkat akhir transaksi, khususnya dalam sektor perkhidmatan, makanan dan minuman serta urus niaga dalam talian.
Armizan berkata, prinsip berkenaan turut diperkukuh menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum, khususnya bagi sektor makanan dan minuman serta transaksi e-dagang dan penghantaran.
Menurutnya, harga akhir yang dipaparkan perlu mengambil kira semua komponen berkaitan, termasuk harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum pengguna mengesahkan tempahan.
Beliau berkata, pelanggaran Seksyen 10B boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57 akta sama, dengan pertubuhan perbadanan berdepan denda sehingga RM100,000.
Bagi individu, hukuman yang diperuntukkan ialah denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Armizan berkata, Seksyen 12(1)(a), Akta Perlindungan Pengguna 1999 melarang peniaga memberikan gambaran mengelirukan berhubung harga barangan atau perkhidmatan.
Katanya, Seksyen 12(3)(c) akta sama menetapkan bahawa gambaran harga dianggap mengelirukan sekiranya harga yang dipaparkan memberi tanggapan bahawa ia merangkumi semua kos, sedangkan caj tambahan dikenakan secara berasingan.
“Seksyen 9 dan Seksyen 10 turut melarang perlakuan atau representasi palsu dan mengelirukan berkaitan sifat serta ciri barangan atau perkhidmatan, termasuk dalam urus niaga elektronik,” katanya.
Menurutnya, pelanggaran peruntukan berkaitan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 145 akta itu, iaitu denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan.
Bagi individu, hukuman yang diperuntukkan ialah denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, KPDN turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, yang menghendaki senarai perkhidmatan serta caj dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat pengguna.
Armizan berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan berkaitan penzahiran harga.
Beliau turut menggesa pengguna menyemak harga akhir sebelum membuat pembayaran serta menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mengesan caj tersembunyi atau percanggahan antara harga yang diiklankan dengan harga yang dikenakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














