Guru didakwa dua pertuduhan amang seksual murid Tahun Lima
KOTA BHARU – Seorang guru yang juga warden asrama sebuah sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelaki berusia 11 tahun pada 2025.
Tertuduh, Mohd Faiz Rohizat, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dalam bilik warden asrama sekolah berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari pada April 2025.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di lokasi berkenaan kira-kira pukul 4 petang pada September 2025.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 14(d) akta sama.
Kedua-dua peruntukan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Fathma Nuraimi Mohamad.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan yang dihadapi tertuduh adalah serius.
Bagaimanapun, Siti Fathma dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam, selain mempunyai seorang isteri dan anak berusia tiga tahun.
“Tertuduh akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan sekiranya jaminan tidak dibenarkan, sedangkan anak guam saya perlu menyara anak, isteri dan ibu bapa yang uzur.
“Sebagai penjawat awam, tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan Mohd. Faiz tinggal di alamat tetap di Bachok,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Antara syarat tambahan yang ditetapkan ialah tertuduh perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua bulan.
Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan untuk simpanan mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Disember depan, manakala tertuduh telah membayar wang jaminan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














