Deepavali: 3.28 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya
KUALA LUMPUR – Sebanyak 3.28 juta kenderaan sehari dijangka menggunakan lebuh raya utama negara pada hari puncak sempena sambutan Deepavali, 8 November ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan trafik bermula seawal hari ini, khususnya bagi perjalanan menuju ke destinasi di pantai timur, utara dan selatan tanah air.
Ketua Pengarah LLM, Ir. Mohd Hadzmir Yusoff berkata, pihaknya mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya membuat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan lancar sepanjang tempoh perayaan.
Menurutnya, kerja penyelenggaraan yang memerlukan penutupan lorong ditangguhkan sementara dari 6 hingga 10 November ini, kecuali kerja kecemasan seperti menampal jalan berlubang.
“Sebagai langkah proaktif, kerja penyelenggaraan membabitkan penutupan lorong ditangguhkan sementara bermula 6 hingga 10 November ini, melainkan untuk kerja kecemasan seperti menampal jalan berlubang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada jumlah unjuran itu, lebuh raya kendalian Kumpulan PLUS dijangka merekodkan trafik tertinggi sebanyak 2.24 juta kenderaan sehari.
Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pula dijangka menerima 288,000 kenderaan, diikuti Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebanyak 190,000 kenderaan dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dengan 168,000 kenderaan.
Bagi menguruskan peningkatan trafik, LLM turut mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di 30 lokasi di lebuh raya PLUS serta memastikan sistem kutipan tol beroperasi dengan baik.
Selain itu, lorong tol sementara akan ditambah di lokasi berisiko sesak, manakala kemudahan seperti tempat letak kereta dan tandas mudah alih turut disediakan di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih.
Bilangan petugas juga ditingkatkan bagi memastikan kebersihan tandas serta bekalan air dan minyak kenderaan mencukupi.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun tol sekitar 50 peratus selaras dengan inisiatif yang diumumkan kerajaan.
Mohd Hadzmir turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dengan merujuk aplikasi MyPLUS-TTA bagi Lebuhraya Utara-Selatan serta jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Pantai Timur Fasa 1.
Pemandu juga diminta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mempunyai baki kad Touch ‘n Go dan eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
Penunggang motosikal pula diseru supaya sentiasa berhati-hati dan menggunakan tempat berteduh yang disediakan ketika cuaca buruk.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik semasa menerusi Pusat Pengurusan Trafik LLM yang beroperasi setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 10 malam atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-7752.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














