BERITA SEMASA

Kadar tol kekal, LLM jamin perkhidmatan lebuh raya lebih berkualiti

PUTRAJAYA – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberi jaminan kepentingan pengguna lebuh raya akan terus dilindungi menerusi penyediaan perkhidmatan yang selamat, lancar dan berkualiti susulan keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol sedia ada bagi 10 lebuh raya utama pada tahun hadapan.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun berkata, semua syarikat konsesi akan terus dipantau bagi memastikan operasi dan kerja penyenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya, antara penekanan utama adalah usaha menaik taraf kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah agar lebih kondusif, selain dilengkapi kemudahan terkini termasuk pengecas kenderaan elektrik (EV).

“Selain itu, pengurusan aliran trafik akan terus diperkasakan bagi mengurangkan kesesakan serta memendekkan masa perjalanan pengguna, sekali gus memastikan lebuh raya kekal relevan dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan mengekalkan kadar tol sedia ada pada tahun hadapan membabitkan 10 lebuh raya di seluruh negara sebagai langkah melindungi kebajikan rakyat.

Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Turut terlibat ialah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Sazali berkata, keputusan mengekalkan kadar tol itu mencerminkan keutamaan Kerajaan MADANI yang mendahulukan kepentingan rakyat.

“Keputusan ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, yang menetapkan rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.

“Walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM591.56 juta, langkah ini memberi manfaat kepada hampir satu juta pengguna lebuh raya setiap hari,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button