BN-PH mampu kekal dominan jika terus bekerjasama – Zahid
GOPENG – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama yang terjalin antara BN dan Pakatan Harapan (PH) terbukti berkesan dalam memastikan kemenangan gabungan itu, termasuk dalam pilihan raya kecil (PRK) yang lalu.
Menurut beliau, prestasi cemerlang BN dalam dua PRK terakhir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan Ayer Kuning membuktikan kekuatan kerjasama politik antara kedua-dua gabungan.
“Sebagai contoh, di DUN Mahkota, BN menang dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tetapi menerusi kerjasama rapat dengan PH pada PRK lalu, majoriti meningkat kepada 20,648 undi.

“Begitu juga di Ayer Kuning, daripada 2,213 undi pada PRU15, kita berjaya meningkatkan majoriti kepada 5,006 undi. Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti nyata kejayaan bersama,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gopeng, di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerjasama bersama PH perlu dijadikan iktibar oleh pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi dalam menghadapi landskap politik semasa yang semakin mencabar.
“Kita tidak boleh lagi angkuh atau terlalu yakin untuk bergerak secara solo.
“Realiti politik hari ini menuntut kebijaksanaan strategi dan kerjasama demi mempertahankan kuasa dan kestabilan negara.
“Dengan pendekatan ini, tidak mustahil kita akan kembali menjadi gabungan dominan dalam politik negara,” katanya lagi.
Sementara itu, Saarani berkata, UMNO Perak akan memberi tumpuan untuk menarik kembali sokongan pengundi bukan ahli parti sebagai sebahagian daripada strategi utama menghadapi PRU16.
“Kita perlu memahami keperluan semasa dan mendekati rakyat daripada semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang berada di luar lingkungan keahlian parti,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








