BERITA SEMASA

Dr Mohammed Azman kekal Presiden ISSA, bukti keyakinan dunia kepada Malaysia

PUTRAJAYA – Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed sekali lagi diberi mandat sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi penggal 2026–2028.

Pengumuman itu dibuat semasa Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) dan mesyuarat ISSA yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pelantikan semula Dr Mohammed Azman mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap kepakaran serta komitmen Malaysia dalam memperkukuhkan sistem keselamatan sosial.

“Selain mengharumkan nama negara, perhimpunan global ini juga menobatkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota global keselamatan sosial.

“Kejayaan ini mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap usaha Kerajaan MADANI membangunkan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh untuk rakyat, khususnya golongan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, antara tahun 2015 hingga 2025, Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 63 peratus pekerja yang dilindungi di bawah sistem keselamatan sosial, manakala bayaran faedah maksimum kepada orang berinsurans turut meningkat daripada RM2,655 pada 2015 kepada RM5,355 pada tahun ini.

Malaysia juga menjadi antara segelintir negara yang memperluas perlindungan sosial kepada suri rumah melalui inisiatif seperti Skim Lindung Kasih dan program i-Suri KWSP yang kini memberi manfaat kepada lebih 500,000 suri rumah.

“Selain itu, perlindungan turut diperkukuh kepada pekerja gig melalui Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang diluluskan Parlimen.

“Pada sidang Parlimen akan datang, kerajaan akan membentangkan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) bagi memperkenalkan perlindungan 24 jam PERKESO kepada para pekerja,” katanya lagi.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana realiti pekerjaan masa kini tidak lagi terikat dengan waktu pejabat semata-mata.

Steven berharap kepimpinan Dr Mohammed Azman sebagai Presiden ISSA akan terus membuka ruang kerjasama antarabangsa, sekali gus membolehkan Malaysia mengadaptasi amalan terbaik dunia serta muncul sebagai penanda aras global dalam bidang keselamatan sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button