Verstappen akhiri kemarau kemenangan, juarai GP Bahrain di Sepang
SEPANG – Max Verstappen menamatkan penantian untuk meraih kemenangan pertamanya musim ini selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam keadaan litar basah untuk muncul juara Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC), petang tadi.
Kemenangan itu menceriakan lebih 200,000 peminat tempatan dan antarabangsa yang hadir memenuhi litar berkenaan bagi menyaksikan kemunculan semula Formula Satu (F1) di Malaysia selepas kali terakhir berlangsung pada 2017.
Perlumbaan pusingan ke-16 Kejuaraan Dunia itu bagaimanapun bermula dalam keadaan penuh cabaran apabila hujan lebat dan takungan air di permukaan litar menyebabkan pihak kawalan perlumbaan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menangguhkan pelepasan asal lebih 90 minit.
Prosedur permulaan turut dihentikan selepas bendera merah dikibarkan ketika pusingan formasi, sebelum perlumbaan akhirnya dimulakan pada jam 4.33 petang dengan jarak dipendekkan kepada 55 pusingan.
Verstappen yang bermula dari petak utama tidak mensia-siakan kelebihan berkenaan apabila berjaya mempertahankan kedudukan daripada tekanan pendahulu kejuaraan, Andrea Kimi Antonelli daripada Mercedes, serta pelumba Ferrari, Lewis Hamilton.
Ketika permukaan litar mula mengering pada penghujung perlumbaan, Antonelli semakin menghampiri Verstappen, namun pelumba Red Bull Racing itu kekal tenang untuk melintasi garisan penamat 2.307 saat di depan pelumba muda Itali berkenaan.
Hamilton pula menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, 4.919 saat di belakang Verstappen bagi melengkapkan podium.
Bagaimanapun, rakan sepasukan Antonelli, George Russell, terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal apabila mengalami masalah teknikal ketika saingan berbaki enam pusingan.
Pelumba Williams, Alexander Albon dan Valtteri Bottas daripada Cadillac turut gagal menamatkan perlumbaan.
Charles Leclerc melengkapkan kedudukan keempat untuk Ferrari, manakala Isack Hadjar (Red Bull) dan Oscar Piastri (McLaren) masing-masing menduduki tempat kelima dan keenam.
Penyandang juara dunia, Lando Norris pula menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Verstappen mengutip 25 mata untuk melonjak ke tangga keempat keseluruhan dengan 188 mata, sekali gus memintas Norris.
Antonelli terus berada di kedudukan teratas kejuaraan pemandu dengan 320 mata, manakala Russell kekal di tempat kedua dengan 236 mata, menjadikan jurang antara kedua-duanya sebanyak 84 mata menjelang GP Singapura hujung minggu depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








