Pemuda MIC Selangor buat laporan polis peniaga jagung bakar pamer notis perkauman
SEPANG – Satu laporan polis telah dibuat oleh Pergerakan Pemuda MIC Selangor susulan tindakan seorang peniaga yang meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja yang digunakan untuk menjual jagung bakar di Kota Warisan, di sini.
Ketuanya, Gobirajan Chandran berkata, pihaknya memohon jasa baik pihak berkuasa untuk menyiasat kandungan video yang tular didakwa memaparkan kenyataan berunsur perkauman terhadap masyarakat India.
Menurutnya, pihaknya berasa terkejut dengan tindakan biadap peniaga tersebut yang secara terang-terangan mengeluarkan notis ekstrem dan bersikap rasis.
Katanya, peniaga berkenaan juga didakwa bertindak kasar terhadap seorang wanita yang mempersoal tindakan dilakukannya meletakkan notis berkenaan.
“Tindakan dilakukan peniaga ini sangat keterlaluan dan mengecewakan kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku di negara ini,” katanya yang telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Pergerakan Pemuda MIC Selangor disertai beberapa wakil hadir ke IPD Sepang bagi membuat laporan kira-kira jam 3 petang tadi.
Hadir sama, Pengerusi Tetap MIC Bahagian Sepang yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat,Datuk V Gunalan.
Terdahulu satu rakaman video tular di media sosial selepas seorang penjaja tepi jalan didapati meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja yang digunakan untuk menjual jagung bakar.
Insiden tersebut dikatakan berlaku di Kota Warisan, Sepang di mana penjaja terbabit meletakkan notis berbunyi: “Sorry, ini jagung tiada jual sama orang keling”.
Menurut sumber, video berkenaan dirakam oleh seorang wanita India Jumaat lalu dan perkataan ‘keling’ merupakan istilah menghina yang digunakan terhadap masyarakat India.
Semalam, media melaporkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dilaporkan berkata, sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini, tidak boleh diterima mahupun dikompromi.
Katanya, rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, mesti sentiasa menjaga kesejahteraan dan keamanan dengan tidak membenarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengguris perasaan mana-mana pihak.
Aaron turut memohon semua lapisan masyarakat menjunjung Rukun Negara sebagai amalan hidup, terutama prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.
Chandran berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap peniaga tersebut di bawah peruntukkan undang-undang 3R iaitu agama, kaum dan raja kerana tindakan sebegini boleh mengancam keharmonian serta perpaduan masyarakat di negara ini.
Katanya, pihaknya menegaskan bahawa masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang bangsa dan kaum perlu mewujudkan semangat perpaduan serta saling hormat menghormati di anatara satu sama lain.
“Kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya dan sebarang tindakan yang menimbulkan ketegangan antara kaum perlu ditangani sengan tegas bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat terjalin, “katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis IPD Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan yang dihubungi hanya memberikan jawapan ringkas menyatakan kes berkenaan diserahkan kepada Bukit Aman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












