KPM, PDRM perkukuh kerjasama tangani buli, salah laku murid
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu buli dan salah laku murid termasuk melalui pengesanan awal serta tindakan segera terhadap aduan di sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, usaha itu penting bagi memastikan murid berasa selamat di sekolah dan tidak terpaksa menghadapi ancaman atau ketakutan secara bersendirian.
“Berat hati seorang anak hendak ke sekolah apabila ada orang yang ditakutinya di sana.
“Dia mungkin mahu mengadu tetapi bimbang akan diugut pula. Akhirnya, setiap pagi dia perlu berdepan ketakutan yang sama. Saya tidak mahu anak-anak merasakan mereka perlu menghadapi semua ini seorang diri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuannya dengan Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM, DCP Datuk Suryani Sungit.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian ialah keperluan mengenal pasti petanda awal buli dan salah laku serta memastikan tindakan segera diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Fadhlina berkata, kira-kira 16,000 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) kini terlibat secara lebih aktif dalam hal ehwal sekolah bagi membantu memastikan keselamatan dan kebajikan murid terus diberi perhatian.
“Saya mahu anak-anak mengenali pegawai yang boleh membantu mereka. Bukan hanya melihat kehadiran polis selepas sesuatu kejadian berlaku.
“Kami turut membincangkan saringan air kencing yang lebih kerap oleh AADK serta perkongsian data berkaitan kesihatan mental bersama KKM bagi membantu mengenal pasti keperluan intervensi dan sokongan kepada murid,” katanya.
Beliau menegaskan, tanggungjawab menangani buli dan salah laku murid tidak seharusnya dipikul guru semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara agensi bagi memudahkan sekolah mendapatkan bantuan serta memastikan setiap aduan disusuli tindakan.
“Kepada ibu bapa dan warga sekolah, ambil peduli apabila anak cuba bercerita.
“Anak-anak perlu tahu bahawa apabila mereka berani bersuara, kita bersedia mendengar dan melindungi mereka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














