BERITA SEMASA

Agama tidak boleh jadi perisai sekutu politik, senjata musuh – Syed Ibrahim bidas Presiden PAS

KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah “Dajal” oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika mengkritik Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) mendedahkan percanggahan membimbangkan dalam wacana politik negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, adalah mudah bagi seseorang mengecam pihak lain atas nama agama, namun ujian sebenar adalah kesediaan mempertahankan prinsip sama apabila ia bertentangan dengan kepentingan politik sendiri.

Menurutnya, keadilan tidak seharusnya bergantung kepada siapa yang disokong, manakala kebenaran tidak boleh ditentukan berdasarkan siapa yang ditentang.

“Apabila bahasa agama digunakan untuk menghukum lawan politik, persoalan timbul sama ada standard moral sama turut diterapkan secara konsisten, khususnya apabila berdepan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan amanah rakyat.

“Malaysia pernah menyaksikan kesan kegagalan sedemikian menerusi skandal SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sabitan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International kekal menjadi peringatan jelas bahawa jawatan awam adalah satu amanah yang tidak boleh diletakkan mengatasi akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyentuh kebimbangan berhubung tadbir urus Lembaga Tabung Haji, sebuah institusi yang diamanahkan menguruskan simpanan serta aspirasi umat Islam di Malaysia.

Katanya, perkara itu menuntut ketelusan, akauntabiliti dan proses sewajarnya, bukannya kemarahan politik yang hanya ditunjukkan secara terpilih.

Sehubungan itu, Syed Ibrahim berkata, Abdul Hadi perlu memahami bahawa penggunaan autoriti moral agama untuk mengecam lawan politik turut menuntut ketegasan moral sama ketika berdepan isu rasuah dan pengkhianatan amanah rakyat, tanpa mengira pihak yang terlibat.

“Kita tidak boleh menuntut akauntabiliti daripada pihak lawan, tetapi memilih untuk berdiam diri apabila prinsip sama diuji dalam kalangan sekutu politik sendiri,” katanya.

Beliau berkata, maqasid syariah atau objektif utama syariat Islam perlu menjadi panduan dalam membuat pertimbangan, termasuk melindungi harta, memelihara keadilan dan memperjuangkan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, prinsip berkenaan tidak boleh digunakan secara selektif kerana ia melangkaui kesetiaan politik serta kepentingan sempit mana-mana pihak.

Mengulas perbezaan pandangan politik termasuk isu CSA, beliau berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada perbahasan demokrasi yang sah.

Bagaimanapun, katanya, tindakan mereduksi perbezaan tersebut kepada label agama berisiko menjadikan prinsip sebagai alat untuk memenuhi kepentingan politik.

“Malaysia memerlukan budaya politik yang menjadikan agama sebagai sumber integriti, bukannya perpecahan, selain menuntut akauntabiliti tanpa pilih kasih serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik.

“Agama tidak boleh menjadi perisai mudah untuk melindungi sekutu politik atau senjata untuk menyerang pihak lawan. Keadilan menuntut konsistensi, bukannya kemudahan,” katanya.

Beliau turut memetik Surah al-Baqarah ayat 42 yang mengingatkan umat Islam supaya tidak mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan atau menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahuinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button