BISNES & EKONOMI

AWS lancar Semarak AI Malaysia

KUALA LUMPUR – Amazon Web Services (AWS) hari ini melancarkan “Semarak AI Malaysia”, satu inisiatif nasional komprehensif bagi melengkapkan penjawat awam, pelajar, syarikat perisian tempatan serta komuniti dengan peralatan dan kemahiran membina penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) sendiri.

Program berimpak tinggi yang diperkenalkan sempena Hari Awan dan AI AWS Kuala Lumpur itu dirangka berteraskan tiga tonggak utama, iaitu ‘AI Negara’ untuk sektor awam, ‘AI Ekonomi’ bagi memacu perniagaan, dan ‘AI Rakyat’ demi pemerkasaan komuniti.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, program berkenaan memperkukuh komitmen pelaburan AWS bernilai RM29.2 bilion di negara ini bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna, bahkan pencipta teknologi AI di rantau ini.

“Bagi membolehkan Malaysia menerajui ekonomi AI serantau, kita memerlukan tenaga kerja dan industri perisian yang mampu membina, bukan hanya menggunakan teknologi tersebut.

“Inisiatif ini bermula dengan penjawat awam dan pelajar, seterusnya diperluaskan kepada syarikat perisian tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan pelancaran inisiatif tersebut, di sini hari ini,

Di bawah tonggak AI Negara, GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital melancarkan GovHub yang dikuasakan oleh ejen kejuruteraan AI ‘Kiro’ menerusi platform AI-as-a-Service (AIaaS) Jabatan Digital Negara (JDN).

Fasa rintis bagi program tersebut bermula dengan 500 pembangun perisian pada 2026, dengan sasaran penyertaan meningkat kepada 4,000 pembangun menjelang 2028.

Pada masa sama, AWS turut melabur untuk menyediakan peralatan ‘Amazon Quick’ kepada kira-kira 445,000 penjawat awam menerusi platform JDN bagi memperkemas tugas kritikal pentadbiran seperti analisis perolehan kerajaan dan sintesis dasar merentas agensi.

Bagi teras AI Ekonomi, syarikat perisian tempatan yang memanfaatkan infrastruktur AWS Wilayah Asia Pasifik (Kuala Lumpur) mencatatkan lonjakan beban kerja awan dan AI sekitar 30 peratus antara 2024 dan 2025.

Inisiatif itu turut disokong melalui Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) serta kolaborasi bersama GD XCHANGE dan VSTECS bagi mendigitalkan 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang 2028.

Menerusi tonggak AI Rakyat pula, lebih 3,000 pelajar dan pensyarah politeknik serta kolej komuniti melakar rekod baharu dalam Malaysia Book of Records menerusi penyertaan terbesar dalam pertandingan AI ejen, Liga AI Ejen POLYCC 2026.

AWS turut mengambil Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat (1) sebagai sekolah angkat di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI bagi menaik taraf kemudahan digital, STEM serta latihan robotik dan dron.

Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali menegaskan bahawa kepimpinan sektor awam dalam pembangunan AI akan menjadi perintis utama yang mencorakkan lonjakan transformasi digital negara ke tahap lebih tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button