Polis sahkan video ucapan Agong tawar bantuan kewangan palsu
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sebuah video tular memaparkan ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkaitan tawaran bantuan kewangan adalah palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, video berdurasi 32 saat itu dikesan dimuat naik melalui akaun TikTok @datukzulkarnain77 dan memaparkan seolah-olah Sultan Ibrahim memberi ucapan menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia.
“Video tersebut turut menggesa individu yang mengalami masalah kewangan agar menghubungi seorang yang dikenali sebagai Datuk Zulkarnain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, kandungan video berkenaan disahkan palsu dan dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI bagi tujuan penipuan.
“Satu laporan polis telah diterima dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan kandungan video tersebut dan tidak menghubungi individu yang dinyatakan kerana ia merupakan cubaan penipuan yang boleh menyebabkan kerugian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








