BERITA SEMASALUAR NEGARA

Imej AI Trump sebagai Pope cetus kontroversi

WASHINGTON – Imej janaan AI di media sosial rasmi Rumah Putih yang menunjukkan Presiden AS, Donald Trump, sebagai Pope mencetuskan kemarahan antarabangsa dan perdebatan hangat dalam kalangan pakar publisiti dan pemimpin dunia.

Meskipun Trump menyifatkan imej tersebut sebagai satu gurauan, pakar memberi amaran bahawa penggunaan AI dalam bentuk sedemikian berpotensi mengelirukan rakyat dan mengancam integriti maklumat politik.

Imej yang dimuat naik ke akaun Truth Social Trump kemudiannya dikongsi oleh White House ke platform lain.

“Seseorang hanya bergurau. Ia cuma untuk suka-suka. Perlu juga bergurau sekali-sekala, bukan?,” katanya dalam satu sidang media.

Namun, bagi ramai penganut Katolik di Amerika Syarikat, Eropah dan seluruh dunia, tindakan tersebut dianggap menghina simbol keagamaan dan tidak wajar dijadikan bahan satira.

Bekas Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi, menyelar tindakan itu menerusi platform X dengan menyatakan ia sebagai satu penghinaan kepada simbol agama dan satu tingkah laku badut.

Penganalisis politik pula melihat tindakan Trump sebagai strategi komunikasi berasaskan kontroversi yang telah menjadi kebiasaan beliau sejak dahulu.

Pakar strategi Demokrat, Michael Ceraso, berkata, Trump menggunakan pendekatan seperti gusti profesional sama ada sebagai wira atau penjahat asalkan mendapat perhatian orang ramai.

“Beliau Presiden pertama yang bertindak seperti seorang influencer,” katanya.

Sejak kembali memegang jawatan Presiden pada Januari lalu, Trump sering menggunakan imej janaan AI untuk membentuk persepsi awam termasuk menggambarkan dirinya sebagai raja, gangster ala Al Capone serta berada di lokasi yang tidak pernah dikunjunginya.

Pengarah Makmal Strategi AI-Media di Universiti Northeastern, John Wihbey, berkata gabungan AI dan media sosial membuka ruang baharu kepada ahli politik untuk memanipulasi maklumat.

“Kita sedang menyaksikan fenomena baharu penggabungan AI dan media sosial untuk membentuk naratif politik dan menguasai ruang digital.

“Trump meneroka wilayah yang belum diterokai, dan ini dijangka ditiru oleh pemimpin dunia lain.” jelasnya.

Pensyarah retorik politik dari Texas A\&M University, Jennifer Mercieca, turut menyuarakan kebimbangan.

Beliau melihat tindakan Trump sebagai usaha menutup kejatuhan popularitinya dengan mencipta imej fantasi sebagai wira rakyat.

“Dasar beliau semakin tidak popular jadi Trump menggunakan visual untuk mencipta persepsi kuasa dan kekuatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button