BERITA SEMASA

POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 tampilkan inovasi TVET berteras AI, teknologi masa hadapan

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) semalam menganjurkan POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 di pusat beli-belah Setia City Mall.

KPT dalam satu kenyataan berkata, pameran dua hari tersebut menampilkan pelbagai inovasi digital dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui penyertaan kreatif setiap reruai dari institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).

“Pameran itu bersifat interaktif dan memberi tumpuan kepada teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), simulator penerbangan, robotik, permainan e-Sukan serta demonstrasi pembelajaran berasaskan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Majlis penutupan pameran yang julung kali diadakan itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, yang menyatakan komitmen kementerian untuk memperkukuh peranan POLYCC sebagai pemangkin pendigitalan pendidikan tinggi negara.

“AI dan pendigitalan kini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan. POLYCC perlu terus mara ke hadapan bukan sekadar sebagai penerima teknologi tetapi sebagai peneraju dalam pembangunan bakat dan inovasi digital negara,” katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut merasmikan pelancaran ILHAM@CeLT (Innovative Learning Hub for Advancing Method), sebuah inisiatif Politeknik METrO Kuala Lumpur yang berfungsi sebagai pusat pembangunan bahan pengajaran digital berteraskan teknologi masa hadapan.

KPT berkata, penganjuran eDOLA Digital Fair turut memperlihatkan kejayaan POLYCC–AWS League of Large Language Model (LLM) Bootcamp iaitu satu pertandingan pembangunan model AI generatif hasil kerjasama dengan Amazon Web Services (AWS).

Menurut KPT, kejayaan itu menjadikan POLYCC sebagai agensi pertama di Malaysia menganjurkan inisiatif seumpamanya.

Sebagai pengiktirafan, AWS menganugerahkan sebanyak 5,000 lencana digital kepada POLYCC yang kini menjadi Rakan Latihan Rasmi AWS di Malaysia.

Katanya lagi, pengiktirafan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi POLYCC dalam membina kapasiti kemahiran digital selari dengan keperluan industri semasa.

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zainah Rujihan; serta pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negara.

KPT berkata, penganjuran eDOLA Digital Fair 2025 selaras dengan aspirasi Dasar Pendigitalan Negara dan Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi serta menyokong agenda Malaysia MADANI dalam melahirkan bakat masa hadapan yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi era digital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button