Masalah lalat di UiTM Dengkil semakin serius, ibu bapa desak kerajaan campur tangan
DENGKIL – Pihak Pengurusan Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil digesa mengambil tindakan segera terhadap aduan berterusan mengenai masalah lalat di kafeteria kampus universiti itu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.
Seorang pengguna Facebook dalam satu hantaran mendakwa keadaan itu sudah berlarutan tanpa sebarang tindakan daripada pihak pengurusan kampus.
Katanya, masalah lalat yang membimbangkan itu telah menyebabkan ada masanya pelajar terpaksa membeli makanan yang telah dihinggapi serangga, manakala para peniaga pula dilihat sudah pasrah mengenai masalah itu.
“Pengurusan UiTM seolah-olah tidur dan langsung tidak buat apa-apa walaupun dah lama tahu isu itu berlaku. Aduan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pun nampaknya belum cukup berkesan.
“Anak-anak kita, bakal doktor, ahli farmasi dan pelapis negara terpaksa makan makanan yang tak selamat. Mungkin kena tunggu Menteri KPT turun padang baru ada tindakan,” katanya.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan ICAN Pusat Asasi UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang mengambil langkah kawalan dan pencegahan berperingkat terhadap peningkatan jumlah lalat di kampus.
Menurut kenyataan itu, pelajar juga diminta menjaga kebersihan dan membuang sisa makanan di tempat yang disediakan selain menyalurkan sebarang aduan menerusi sistem e-aduan Fasiliti.
Seorang lagi pengguna media sosial, Fadly Ahmad Subadi mencadangkan agar ibu bapa membuat aduan rasmi atau petisyen kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana percaya isu itu berpunca daripada kawasan kebun sayur berhampiran.
“Besar kemungkinan punca lalat itu datang dari kebun sayur. Kalau tak viral, memang tak ada tindakan. Saya percaya pihak pengurusan pun dah buat aduan, tapi belum cukup kuat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani ketika dihubungi Malaysia Tribune berhubung insiden itu berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sampah haram berhampiran di daerah itu yang terletak di Cybersouth, tidak jauh dari kampus UiTM Dengkil.
“Penduduk CyberSouth pun dah mula mengadu. Lokasi UiTM Dengkil ini adalah antara laluan utama masuk ke CyberSouth dan memang ada aktiviti pembuangan sampah haram berdekatan.
“Itulah antara punca utama lalat dan ulat membiak dengan cepat. Bila ibu bapa pelajar datang makan di kafeteria pun mereka mengadu rasa tak selesa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada penduduk dan ibu bapa pelajar yang tidak selesa dengan keadaan di kafeteria kampus.
Katanya, kewujudan lalat dalam jumlah yang terlalu banyak bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa malah mengundang risiko keselamatan makanan dan kesihatan awam.
Justeru beliau menyeru pengurusan UiTM supaya segera melaksanakan kawalan serangga perosak (pest control), manakala PBT pula perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuang sampah secara haram.
“Kita tak boleh biarkan kartel-kartel sampah ini terus berleluasa. Ini bukan lagi isu pengurusan kampus semata-mata, tapi dah jadi isu kesihatan masyarakat setempat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Malaysia Tribune dalam beberapa siri pendedahan melaporkan kewujudan beberapa tapak pembuangan sampah haram di daerah itu yang semakin berleluasa sehingga melibatkan pencerobohan tanah kerajaan dan persendirian melebihi keluasan 30 ekar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








