JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan hilang bersama anak direman, disyaki tipu wang kutu

JITRA – Pasangan suami isteri yang menyerah diri kepada polis pagi tadi selepas dilaporkan hilang bersama anak mereka sejak 20 Julai lalu, direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes dipercayai berkaitan penipuan membabitkan wang kutu.

Perintah reman sehingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek masing-masing berusia 39 dan 36 tahun mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Kes kehilangan tiga beranak itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan apabila mereka dilaporkan keluar dari rumah di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam pada 20 Julai sebelum gagal dikesan.

Susulan kehilangan itu, bapa kepada wanita berkenaan yang berusia 62 tahun membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas gagal menghubungi anak perempuannya, menantu serta cucunya.

Ahli keluarga memaklumkan kali terakhir mereka berhubung dengan ketiga-tiga mangsa adalah pada 20 Julai.

Siasatan polis menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati mereka pulang ke rumah menaiki sebuah kenderaan pada pukul 1.12 pagi Isnin sebelum keluar semula tidak lama kemudian.

Semalam, polis memaklumkan tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak itu mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa kerugian kira-kira RM25,000 akibat dipercayai ditipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button