JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek bunuh, bakar kekasih direman lima hari lagi

KUALA SELANGOR – Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman seorang lelaki yang disyaki membunuh dan membakar teman wanitanya di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar disambung selama lima hari lagi sehingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kebenaran lanjutan reman ke atas suspek berusia 20 tahun itu dikeluarkan pada Isnin lalu dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tempoh reman yang berakhir hari ini disambung sehingga Jumaat ini. Kita akan merujuk kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan pendakwaan,” katanya memetik laporan Kosmo.

Dalam pada itu, Agus Salim meminta orang ramai tidak sewenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan tidak sahih di media sosial mengenai kes berkenaan.

“Tindakan menyebarkan spekulasi itu hanya akan mengganggu siasatan polis yang sedang dijalankan ketika ini. Kita tidak akan teragak-agak membuka kertas siasatan ke atas individu itu mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan keluarga wanita hamil yang dibunuh dan dibakar itu menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan kes itu.

Mereka turut berharap si pelaku mendapat balasan setimpal mengikut undang-undang dan jenazah anak kelima daripada enam beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan Sungai Besar, Jumaat lalu.

Tindakan tidak berperikemanusian itu dilakukan suspek selama dua hari bermula Isnin minggu lalu selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa yang berusia 21 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button