BERITA SEMASA

Lelaki Orang Asli maut dipercayai dibaham harimau di Sungai Siput

SUNGAI SIPUT – Kegiatan mencari hasil hutan bertukar tragedi apabila seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai dibaham harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor, di sini semalam.

Mangsa, Zamberi Angah, 42, ditemukan pada pukul 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi yang dipercayai menjadi tempat serangan haiwan liar berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, mangsa dipercayai diserang harimau belang ketika mencari hasil rotan bersama seorang rakannya di kawasan Hutan Simpan Korbu.

Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima aduan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.30 petang sebelum operasi mencari mangsa dimulakan kira-kira pukul 6.30 petang.

“Pasukan PERHILITAN bergegas ke lokasi dan bertemu dengan anak mangsa.

“Selain PERHILITAN, operasi pencarian turut membabitkan anggota polis dari Balai Polis Lintang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), bersama kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja pembalakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

maut
Mayat mangsa, Zamberi Angah (gambar kecil) dibawa pihak berkuasa selepas maut dibaham harimau ketika keluar mencari rotan di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput semalam.

Menurut Zolkafly, kesan tapak harimau belang serta beberapa petunjuk lain turut ditemukan di lokasi mayat mangsa dijumpai.

Beliau berkata, dirinya bersama isteri turut meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah selain menghulurkan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit.

“Penduduk dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan berkenaan buat sementara waktu, sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan Mohd Rohaizimi Razali, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Difahamkan, PERHILITAN akan memasang perangkap harimau berhampiran lokasi kejadian sebagai langkah susulan.

“Hari ini pihak unit harimau PERHILITAN akan memasang satu perangkap harimau antara Kampung Takong dengan Hutan Simpan Korbu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button