MARA bawa delegasi China teroka produk halal Malaysia di MIHAS
KUALA LUMPUR – Seramai 30 delegasi perniagaan dari Yunnan, China meneroka produk halal usahawan Bumiputera di bawah Program Gate to Global (GTG) Majlis Amanah Rakyat (MARA) sempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026.
MARA memaklumkan, delegasi berkenaan mengunjungi Pavilion GTG MARA bagi meneroka peluang mendapatkan produk halal Malaysia, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, kosmetik serta produk farmaseutikal.
“Lawatan itu turut memberi tumpuan kepada peluang kerjasama perniagaan, pelaburan dan usaha sama bersama usahawan tempatan,” katanya sambil menambah kunjungan berkenaan turut membuka peluang baharu untuk produk tempatan menembusi pasaran Yunnan dan selatan China.
Baca juga : MEX, CXS meterai kerjasama strategik perkukuh AI dan pembangunan modal insan
Selain itu, sesi padanan perniagaan secara langsung antara delegasi Yunnan dengan usahawan MARA yang mempunyai produk berpotensi untuk pasaran antarabangsa turut diadakan.
“Pertemuan berkenaan memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk, memahami keperluan pasaran serta meneroka potensi kerjasama pengedaran dan akses pasaran di Yunnan serta wilayah selatan China.
MARA menambah, minat delegasi Yunnan terhadap produk halal Malaysia turut mencerminkan peluang lebih luas kepada usahawan Bumiputera untuk memanfaatkan ekosistem perdagangan halal negara yang telah dibangunkan secara menyeluruh.
Katanya, penyertaan GTG MARA di MIHAS 2026 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MARA untuk membawa usahawan Bumiputera daripada tahap Export Ready kepada Market Access dengan mempertemukan mereka secara langsung dengan pembeli, pengimport, pengedar dan rakan strategik antarabangsa.
“Menerusi penyertaan di MIHAS 2026, MARA menyasarkan potensi jualan sebanyak RM30 juta melalui penyertaan 42 syarikat dan usahawan, merangkumi 30 usahawan di bawah penyertaan MIHAS dan 12 usahawan wanita menerusi inisiatif Women in Export (WiEX) @ MIHAS 2026.
“MARA terus komited memperluas jaringan antarabangsa dan membuka lebih banyak akses pasaran kepada usahawan Bumiputera supaya produk tempatan dapat menembusi pasaran global secara lebih tersusun, berdaya saing dan berterusan,” katanya lagi.
Sejak diperkenalkan pada 2018, Program GTG telah melatih dan membimbing 172 usahawan Bumiputera bagi membantu mereka memperluas pasaran produk ke peringkat antarabangsa.
Sepanjang 2026, usahawan GTG turut menyertai pelbagai platform perdagangan antarabangsa termasuk Gulfood Dubai, FOODEX Japan, China Food Drink Festival (CFDF), Korea Import Expo (KIE), Japan International Food & Beverages Expo (JFEX), Market Immersion Korea dan Borneo International Halal Showcase (BIHAS).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







