MIHAS 2026: MARA sasar potensi jualan RM30 juta
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan potensi jualan RM30 juta menerusi penyertaan 42 usahawan Bumiputera pada Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026, selain memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan strategik dari Jepun, Indonesia dan Korea Selatan.
Dalam satu kenyataan, MARA memaklumkan tiga MoU berkenaan membabitkan Munif Hijjaz Marketing Sdn. Bhd. dengan Kawori Orchard Inc. dari Jepun, dengan potensi jualan RM2.5 juta dalam tempoh tiga tahun.
Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd. (Cap Bunga Rose) pula memeterai kerjasama dengan PT. Jatinusa Jiwa Mahakarya dan VARSKY Indonesia, dengan potensi jualan RM247,500 bagi tahun pertama.
Sementara itu, NIMS Adeliciousz Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan SOM International dari Republik Korea dengan sasaran potensi nilai jualan sebanyak USD100 juta dalam tempoh tiga tahun.
“Kerjasama strategik itu membuka ruang kepada usahawan MARA untuk mengembangkan rangkaian pengedaran, memperluas pasaran serta membina hubungan komersial jangka panjang di pasaran antarabangsa.
“Ketiga-tiga kerjasama berkenaan turut memperlihatkan bagaimana penyertaan dalam platform antarabangsa yang disokong MARA dapat diterjemahkan kepada peluang pasaran yang lebih konkrit,” katanya.
Baca juga : MARA bawa delegasi China teroka produk halal Malaysia di MIHAS
Terdahulu, majlis pemeteraian tiga MoU itu disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Suriani Ahmad di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara semalam.
MARA berkata, kerjasama NIMS, misalnya, bermula daripada sesi business matching semasa Korea Import Expo (KIE) 2024 yang dianjurkan menerusi Program Gate to Global (GTG) MARA sebelum berkembang kepada kerjasama strategik di pasaran Korea.
Menerusi GTG, MARA menyediakan sokongan pembangunan kepada usahawan Bumiputera merangkumi aspek kesiapsiagaan eksport, pengukuhan jenama, pembangunan kapasiti dan akses pasaran antarabangsa.
Sejak diperkenalkan pada 2018, seramai 172 usahawan Bumiputera menerima latihan dan bimbingan menerusi program itu bagi memperluas pasaran produk ke luar negara.
Di MIHAS 2026, MARA membawa 42 syarikat dan usahawan, terdiri daripada 30 usahawan menerusi penyertaan MIHAS dan 12 usahawan wanita di bawah inisiatif Women in Export (WiEX) @ MIHAS 2026.
Penyertaan merangkumi sektor makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan, penjagaan diri dan kosmetik, produk isi rumah, fesyen dan gaya hidup serta pembungkusan, dengan penekanan kepada produk yang memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
Penyertaan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkenalkan produk dan jenama usahawan MARA kepada pembeli, pengimport, pengedar serta rakan strategik antarabangsa, di samping membuka lebih banyak ruang business matching, jaringan strategik dan kerjasama komersial.
Usahawan yang dibawa turut diberi penekanan terhadap aspek Export Ready, termasuk kesesuaian produk dengan keperluan pasaran dan keupayaan pengeluaran yang konsisten.
Menurut MARA lagi, pihaknya komited memastikan penyertaan usahawan di platform antarabangsa bukan sekadar memberi ruang pameran, tetapi diterjemahkan kepada jaringan perniagaan, akses pasaran dan peluang komersial yang berterusan.
“Langkah ini sekali gus menyokong usaha melahirkan lebih banyak usahawan Bumiputera yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








