PERODUA turunkan harga Axia sehingga RM4,700
KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) mengumumkan penurunan harga model Axia sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta, susulan peningkatan berterusan dalam kecekapan operasi syarikat.
Langkah itu membabitkan model kereta kompak paling mampu milik di Malaysia bagi membantu memenuhi keperluan mobiliti harian rakyat, selain berkongsi manfaat penjimatan operasi dengan pelanggan.
Penurunan harga itu juga mencerminkan komitmen PERODUA untuk membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup dan persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata harga baharu berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Harga baharu ini adalah antara usaha berterusan kami untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Semenanjung Malaysia, harga Axia 1.0G dikurangkan sebanyak RM4,700 kepada RM33,900 berbanding RM38,600 sebelum ini, manakala Axia 1.0X kini ditawarkan pada harga RM38,500 selepas pengurangan RM1,500.
Bagi varian Axia 1.0SE, harganya dikurangkan RM1,000 kepada RM43,000, manakala Axia 1.0AV menerima pengurangan RM500 menjadikan harga baharunya RM49,000.
Di Sabah dan Sarawak, Axia 1.0G kini dijual pada harga RM35,900 berbanding RM40,600 sebelum ini, manakala Axia 1.0X ditawarkan pada harga RM40,500 selepas pengurangan RM1,500.
Sementara itu, Axia 1.0SE dijual pada harga RM45,000 selepas dikurangkan RM1,000, manakala Axia 1.0AV berharga RM51,000 susulan pengurangan sebanyak RM500. Semua harga yang diumumkan tidak termasuk kos insurans.
PERODUA memaklumkan semua spesifikasi dan standard kualiti Axia kekal tidak berubah, dengan penjimatan yang dinikmati pelanggan diperoleh sepenuhnya hasil penambahbaikan proses serta peningkatan kecekapan operasi syarikat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















