AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASAPMX

QV-E: Perodua penuhi komitmen RM800 juta, sokong industri automotif tempatan – PM

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) memenuhi sepenuhnya komitmen yang ditetapkan kerajaan bagi pelancaran QV-E, kereta elektrik pertama buatan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut termasuk pelaburan RM800 juta, penglibatan lebih 100 tenaga pakar tempatan serta sokongan 52 vendor domestik.

Beliau berkata, pelaburan itu mencerminkan kesungguhan Perodua untuk melangkah ke era baharu mobiliti negara dengan kemampuan sendiri tanpa bergantung kepada kepakaran luar.

“Ini pencapaian besar. Ia satu keyakinan baharu bahawa kita mampu menghasilkan EV dengan kekuatan dan tenaga kerja tempatan.
“Kejayaan ini harus menjadi inspirasi bukan sahaja kepada Perodua, tetapi seluruh ekosistem industri dan generasi muda,” katanya.

Baca juga : Perodua secara rasmi lancar QV-E, RM80,000 seunit

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan pelancaran model EV pertama Perodua, QV-E, di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan itu bukan sahaja menepati syarat kerajaan, malah membuktikan kemampuan industri automotif tempatan bergerak seiring perkembangan teknologi baharu.

Perodua
QV-E, kereta elektrik pertama buatan Malaysia dijual pada harga RM80,000.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau secara peribadi sebelum ini berasa gusar tentang kemampuan Malaysia untuk membangunkan EV sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bangga apabila Perodua membuktikan keupayaan itu dengan menghasilkan model pertama ini menggunakan 100 peratus kepakaran tempatan.

Justeru, katanya, kerajaan akan terus menyokong usaha memodenkan industri automotif negara, selaras matlamat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi hijau dan mobiliti masa depan.

“Dengan 100 pakar tempatan dan 52 vendor yang menyumbang secara langsung, saya yakin kejayaan ini akan meletakkan Perodua pada kedudukan lebih kukuh dalam pasaran serantau,” katanya.

Anwar menambah, pelancaran Perodua QV-E menandakan permulaan penting kepada usaha mengukuhkan industri EV negara serta memperluas peluang penyertaan tenaga mahir tempatan dalam teknologi generasi baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button