KPT bincang dengan KPM pastikan Bahasa Melayu, Sejarah diutamakan – PM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diarahkan untuk berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diberikan keutamaan termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan itu adalah sebahagian daripada cadangan semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) yang dibentangkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam.
“Semakan ini penting untuk menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU supaya lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Cadangan semakan MPU dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pertahanan melalui kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU.
Dalam pada itu, Anwar menyambut baik usaha menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU agar lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme.
Menurut Anwar, semakan semula MPU itu turut akan diperluas pelaksanaannya bukan sahaja di universiti awam dan swasta, tetapi juga di semua institut latihan di negara ini.
“Usul ini juga akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperkukuh kesedaran kebangsaan demi melahirkan generasi yang berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








