Pelajar maut dibunuh: KPT gesa IPT perkukuh aspek keselamatan, kebajikan pelajar
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga penuntut sebuah universiti di Cyberjaya yang mati dibunuh di sebuah unit kondominium di sini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, KPT sedang menunggu laporan penuh hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
“Sehubungan itu, pihak KPT menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti pihak yang terlibat.
“Sebagai langkah berterusan dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan pelajar, KPT ingin mengingatkan semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA/ IPTS) agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh universiti masing-masing.
“Ini penting bagi memastikan tahap keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pematuhan itu juga adalah penting bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap pelajar yang berada di bawah tanggungjawab universiti.
Sementara itu, KPT juga sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan setiap IPT kekal sebagai persekitaran yang selamat, kondusif dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan para pelajar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








