BERITA SEMASA

Keputusan kemasukan Universiti Awam lepasan STPM/setaraf diumum 14 Ogos

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) melalui UPUOnline® bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda sesi akademik 2026/2027 untuk lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf akan diumumkan pada 14 Ogos ini.

Menurut KPT, keputusan boleh disemak mulai jam 12 tengah hari pada 14 Ogos hingga 5 petang, 23 Ogos ini melalui beberapa saluran.

“Antaranya ialah portal UPUOnline® di upu.mohe.gov.my dan upu2.mohe.gov.my, selain aplikasi mudah alih UPUPocket dan MyGov.

“Bagi calon yang menerima tawaran, pengesahan setuju terima atau menolak tawaran perlu dibuat mulai 15 Ogos hingga 23 Ogos 2026 melalui laman web UA masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, surat tawaran rasmi pula akan dikeluarkan oleh UA kepada calon yang berjaya mulai 15 Ogos selepas calon membuat pengesahan setuju terima dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu katanya, hanya pemohon yang tidak berjaya menerima tawaran dibenarkan mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® dalam tempoh 10 hari, bermula 14 Ogos, jam 12 tengah hari hingga 23 Ogos ini, jam 5 petang.

Pada masa sama, KPT turut menegaskan bahawa tawaran tempat bagi sesi akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian atau UA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas proses pendaftaran pelajar baharu selesai.

“Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan UPUOnline® boleh diajukan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi melalui talian 03-8684 2363 atau e-mel upu@mohe.gov.my.

“Calon juga boleh mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi BKPA UPU di Facebook, TikTok dan Instagram,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button