KPT arah UiTM sedia laporan lengkap insiden penuntut meninggal dunia
PUTRAJAYA – Universiti Teknologi MARA (UiTM) diarahkan menyediakan laporan lengkap berhubung kematian seorang penuntut ketika menyertai acara duathlon dalam program Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) di Pahang, Jumaat lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, laporan berkenaan perlu merangkumi punca kejadian serta tindakan susulan yang akan diambil.
Katanya, berdasarkan laporan awal yang diterima, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suhu dan haba yang keterlaluan ketika latihan berkenaan.
“Latihan Kesatria adalah program sedia ada yang turut dilaksanakan di universiti lain dan lazimnya membabitkan latihan intensif,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepada Pelajar Terbaik STPM 2025 di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang penuntut UiTM, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika acara duathlon dalam program KKEC, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, lapan lagi peserta turut menerima rawatan, dengan dua peserta dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh, manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Jengka dan dilaporkan stabil.
Sembilan penuntut terbabit terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita, mengadu mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai program itu di kampus Universiti UiTM Jengka, Maran.
Pada masa sama, Zambry turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan serta mereka yang sedang menerima rawatan.
“Kita doakan supaya keadaan mereka kembali pulih dan mereka dapat meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata, KPT memandang serius setiap perkara yang membabitkan keselamatan dan kebajikan pelajar yang mengikuti program seumpama itu serta akan mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








