BERITA SEMASA

Mobiliti pelajar, penyelidikan bersama perkukuh kerjasama Asia – Zambry

TOKYO – Asia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mempertahankan serta memperbaharui sistem kerjasama pelbagai hala atau multilateralisme yang kini semakin teruji dalam landskap geopolitik global.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika menyertai sesi meja bulat pemimpin Asia pada persidangan Tokyo Conference 2026 di sini.

Dalam sesi bertajuk “Asian Leaders Roundtable: Asia’s Option in an ‘Age of Power – How to defend and rebuild the rules-based multilateral order”, Zambry berkata, dunia kini berada dalam era yang sering digambarkan sebagai “Age of Power”.

Menurut beliau, era tersebut menyaksikan persaingan geopolitik, tekanan ekonomi serta penggunaan teknologi sebagai alat pengaruh semakin ketara.

Katanya, situasi itu turut dilihat sebagai satu defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa, khususnya apabila undang-undang dan peraturan global didapati tidak dilaksanakan secara konsisten.

“Malaysia menegaskan kepentingan autonomi strategik melalui pendekatan non-alignment aktif, di samping mempertahankan prinsip kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa serta multilateralisme yang adil dan inklusif,” katanya dalam sesi meja bulat semasa persidangan itu.

zambry

Persidangan Tokyo Conference 2026 menghimpunkan pemimpin serta tokoh dasar Asia bagi membincangkan cabaran geopolitik semasa dan kerjasama antarabangsa.

Persidangan berkenaan turut menghimpunkan pemimpin, pemikir serta tokoh dasar dari pelbagai negara khususnya di rantau Asia bagi membincangkan cabaran masa depan dan kerjasama antarabangsa.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Asia memiliki kekuatan ekonomi, demografi dan pengaruh diplomatik yang besar bagi membantu membentuk sistem antarabangsa yang lebih seimbang.

“Multilateralisme masa hadapan mesti lebih inklusif serta mencerminkan suara dan aspirasi majoriti negara di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry menegaskan kerjasama strategik antara negara-negara Asia perlu terus diperkukuh dengan sektor pendidikan tinggi memainkan peranan penting sebagai pemangkin hubungan antarabangsa.

Menurutnya, institusi pendidikan tinggi berpotensi menjadi jambatan yang menghubungkan negara-negara serantau melalui pertukaran ilmu, mobiliti pelajar dan penyelidikan bersama.

Beliau berkata, pendekatan tersebut dapat membantu membangunkan bakat, memperkukuh diplomasi ilmu serta menyokong pembentukan sistem global yang lebih seimbang, inklusif dan berteraskan kerjasama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button