Syarikat tempatan perlu kuasai rantaian bekalan pelabur, kurangkan import – Johari
KUALA LUMPUR – Penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan pelabur asing perlu dipertingkat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import, sekali gus meningkatkan lebihan dagangan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, syarikat tempatan berpeluang membekalkan komponen yang diperlukan pelabur untuk menghasilkan produk mereka, sekali gus mengurangkan keperluan mengimport bahan dari luar negara.
Beliau berkata, sekiranya beberapa syarikat tempatan mampu menghasilkan komponen yang diperlukan, ia dapat membantu mengurangkan import dan mengembangkan ekonomi serta eksport negara.
“Jadi kalau kita katakan satu pelabur itu datang, dia nak buat satu produk, tapi dia memerlukan material, 10 jenis material ataupun komponen.
“Tapi kalau syarikat kita, tiga atau empat syarikat boleh buat tiga hingga empat komponen tersebut, maka kita mengurangkan import pun,” katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) di sini, hari ini.
Johari berkata, strategi berkenaan juga boleh membantu meningkatkan lebihan dagangan negara sekiranya pertumbuhan eksport melebihi pertumbuhan import, dengan lebih banyak komponen dihasilkan dalam negara.
Beliau berkata, pertumbuhan eksport sebanyak 34 peratus berbanding import 25 peratus ketika ini menunjukkan kepentingan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk menghasilkan komponen yang diperlukan industri.
“Kalau kita eksport berkembang 34 peratus, tapi import mungkin 10 peratus dia berkembang, tapi yang lain itu buat dalam negara. Itu akan memberi banyak trade surplus kita punya aktiviti perdagangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut memainkan peranan penting dalam membantu syarikat tempatan menghasilkan komponen yang diperlukan pelabur.
Menurutnya, syarikat tempatan boleh melaksanakan R&D bagi membangunkan komponen yang belum dapat dihasilkan dalam negara, berdasarkan keperluan produk yang dibawa masuk oleh pelabur.
Beliau berkata, usaha itu membolehkan syarikat tempatan mempelajari keperluan industri dan membangunkan keupayaan menghasilkan komponen berkenaan menerusi penyelidikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


