BERITA SEMASA

Farhash saman Rafizi berhubung dakwaan fitnah dalam podcast

KUALA LUMPUR – Tokoh korporat, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman terhadap Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam sebuah podcast disiarkan menerusi saluran YouTube bekas Menteri Ekonomi itu.

Peguam yang mewakili Farhash, Datuk Seri Rajan Navaratnam berkata, writ saman dan Pernyataan Tuntutan difailkan pada 23 Oktober lalu selepas pihaknya meneliti kandungan podcast berkenaan.

Menurutnya, podcast bertajuk Dari UMNO ke PKR: Zetrix – Kerajaan Bertukar, Kroni Berpindah? | YBM #68 itu diterbitkan pada 16 Oktober lalu dengan durasi kira-kira tiga jam 14 minit.

Beliau berkata, kandungan podcast itu menyentuh kepentingan perniagaan Farhash, hubungan korporat, dakwaan kaitan dengan tokoh politik serta tuduhan berkaitan kronisme dan perolehan kontrak kerajaan.

“Dokumen mahkamah berkenaan kini dalam proses penyampaian kepada Rafizi mengikut prosedur yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan itu merupakan kali kedua Farhash mengambil langkah undang-undang terhadap Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnahnya.

Pada 22 Ogos tahun lalu, Farhash menerusi peguamnya ketika itu, Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co, mengeluarkan surat cease and desist yang menuntut Rafizi memohon maaf secara terbuka, selain menarik balik dan memadam kenyataan berkaitan dalam tempoh 48 jam.

Tuntutan terdahulu itu turut meminta Rafizi berhenti mengaitkan Farhash dengan insiden serangan terhadap anaknya serta urus niaga syarikat tertentu.

Mengulas tindakan terbaharu itu, Rajan berkata, anak guamnya berpendirian bahawa penerbitan berulang kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu mempunyai niat jahat dan menjejaskan reputasinya.

Katanya, Farhash memandang serius dakwaan berkenaan dan mahu perkara itu ditangani menerusi proses undang-undang yang sewajarnya.

“Anak guam saya menyerahkan perkara ini kepada mahkamah yang mulia untuk diputuskan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button