BERITA SEMASA

Rafizi teruskan saman terhadap Caprice

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan meneruskan saman terhadap pempengaruh media sosial, Ariz Ramli atau Caprice berhubung kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan tuduhan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tindakan itu diambil selepas beberapa hari peluang diberikan kepadanya untuk meminta maaf namun tidak diendahkan.

Beliau berkata, kandungan yang dilakukan oleh Caprice itu disifatkan memang menuduh beliau mempunyai kepentingan manfaat di dalam syarikat miliknya iaitu Invoke Solutions Sdn Bhd.

“Pertanyaan yang berbentuk tuduhan atau sindiran tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan tindakan undang-undang di bawah undang-undang fitnah.

“Sebaliknya, elemen seperti innuendo dan sindiran tersirat juga boleh diambil kira oleh mahkamah dalam menilai sama ada sesuatu kenyataan itu fitnah atau tidak,” katanya.

Rafizi berkata demikian menerusi podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) bersama moderator Haziq Azfar Ishak, malam tadi.

Semalam menerusi satu sidang media, Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran di media sosial dan meminta maaf kepadanya sebelum jam 5 petang hari ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Caprice menegaskan beliau tidak pernah menyebut jumlah RM2.5 bilion itu mahu pun sebarang perkataan rasuah dalam hantaran video di laman sosialnya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, segala bukti yang ditunjukkan itu disifatkan memberi peluang besar kepadanya untuk menang saman memandangkan tiada sebarang elemen yang boleh menuduh beliau mempunyai konflik kepentingan.

“Elemen yang perlu dilihat ialah adalah adakah rasuah itu berlaku, terdapat pemberi dan penerima dan campur tangan.

“Kalau betul saya menerima rasuah, sudah lama saya ke dalam penjara tapi sampai sekarang tidak berlaku pun. Saya yakin Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) memantau setiap hari,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button