BERITA SEMASADALAM NEGERI

Rafizi akan teruskan saman Caprice

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak akan berundur dan tetap akan meneruskan saman terhadap pempengaruh media sosial, Caprice, selepas tempoh yang diberikan untuk memohon maaf langsung tidak diendahkan.

Menurutnya, kandungan yang dimuat naik oleh Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli itu jelas bersifat tuduhan dan cuba menggambarkan seolah-olah beliau mempunyai kepentingan tersembunyi dalam Invoke Solutions Sdn Bhd.

Tegas beliau, cubaan berselindung di sebalik bentuk soalan, sindiran atau kiasan tidak akan melepaskan sesiapa daripada tindakan undang-undang di bawah peruntukan fitnah.

“Jangan fikir boleh baling tuduhan secara tersirat dan kemudian bersembunyi di sebalik alasan ‘saya cuma bertanya’.

“Mahkamah menilai keseluruhan maksud, termasuk innuendo dan sindiran halus. Jika ia membawa maksud fitnah, tindakan tetap akan diambil,” katanya dalam podcast Yang Berhenti Menteri (YBM).

Terdahulu, Caprice dilaporkan mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran media sosial dan memohon maaf sebelum jam 5 petang, susulan isu dakwaan berkaitan kontrak bernilai RM2.5 bilion.

Caprice menafikan pernah menyebut jumlah tersebut atau menggunakan istilah rasuah.

Namun Rafizi membalas dengan nada tegas bahawa dakwaan kononnya wujud konflik kepentingan adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, jika benar berlaku rasuah melibatkan dirinya, sudah tentu tindakan undang-undang telah lama diambil.

“Kalau saya terima rasuah, saya sudah lama masuk penjara. Jangan cuba bina persepsi liar tanpa bukti,” tegasnya, sambil menyatakan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sentiasa memantau.

Beliau turut menafikan dakwaan berhubung pegangan saham, menjelaskan bahawa carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia hanya menunjukkan ‘preference share’ berbentuk pinjaman, bukannya saham berkepentingan seperti yang digembar-gemburkan.

Mengakhiri kenyataan, Rafizi menyifatkan polemik tersebut sebagai taktik mengalih perhatian daripada isu lebih besar membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dan memberi amaran bahawa beliau bersedia menghadapi apa jua cabaran di mahkamah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button