Counter Setting: SPRM tahan reman 12 termasuk 7 pegawai penguat kuasa
JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan sindiket ‘counter setting’ untuk memudahkan urusan kemasukan warganegara Indonesia ke negara ini.
Mereka yang ditahan adalah pegawai yang berkhidmat di Pusat Pemeriksaan Pintu Keluar / Masuk Laut di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka.
Majistret Suhaili Sapun membenarkan dua suspek direman selama enam hari manakala 10 suspek lagi direman selama lima hari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek melibatkan 10 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an itu ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, kesemua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta ‘runner’ yang turut ditahan dalam operasi ini.
“Mereka dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi counter setting di pintu masuk laut dari tahun 2024 hingga awal tahun 2025,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Sumber berkata, susulan tangkapan itu, SPRM turut merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000; mata wang asing IDR71,000,000; kereta jenis Toyota Vellfire bernilai kira-kira RM115,000 serta motosikal jenis Italjet Dragster bernilai kira-kira RM30,000.
Katanya, SPRM juga membuat permohonan bagi membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu melibatkan nilai RM1.2 juta.
Semalam, SPRM Johor dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM menjalankan operasi di Johor dan Pulau Pinang menerusi Op Setting.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, dua lagi suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















