Sekolah, institusi pendidikan KPM di Melaka beroperasi semula esok
MELAKA – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Melaka akan beroperasi semula esok, 15 Oktober, susulan perkembangan terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN Melaka) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa serta aspek keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan warga institusi pendidikan.
“Semua pihak pentadbir institusi pendidikan diminta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi serta mematuhi arahan dan garis panduan semasa yang ditetapkan KPM dan pihak berkuasa berkaitan.
“Bagaimanapun, semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), perhimpunan serta kokurikulum mesti dihentikan serta-merta,” katanya hari ini.
Sementara itu, murid turut digalakkan memakai pelitup muka dan minum air dengan kerap bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pencemaran udara.
JPN Melaka juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau tahap kesihatan anak masing-masing serta mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami gejala berkaitan pencemaran udara.
Sebarang perubahan berkaitan pengoperasian institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui laman Facebook rasmi JPN Melaka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








