BERITA SEMASA

39 kadet Kor SUAR UniSZA bakal dianugerah Sijil Kadet Integriti Muda

PUTRAJAYA – Seramai 39 Pegawai Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) kumpulan keempat dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal dianugerahkan Sijil Kadet Integriti Muda dalam Majlis Tamat Latihan Kor SUAR dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda Kohort 4/2026, Sabtu ini.

Kumpulan mahasiswa yang terdiri daripada 15 kadet lelaki dan 24 kadet wanita tersebut telah menjalani latihan selama empat semester, merangkumi aspek pembentukan jati diri, disiplin, kepemimpinan, integriti serta pendidikan pencegahan rasuah.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim berkata, pentauliahan itu bukan sekadar mengiktiraf kejayaan mereka menamatkan latihan, malah menjadi langkah penting dalam melahirkan generasi muda yang mampu berperanan sebagai ejen perubahan bagi memperkukuh budaya integriti dan menolak amalan rasuah dalam masyarakat.

Beliau berkata, Majlis Tamat Latihan yang dianjurkan dengan kerjasama SPRM itu akan disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kuala Terengganu, Terengganu.

“Program hasil kerjasama strategik SPRM dan UniSZA ini menjadi antara platform pendidikan antirasuah di institusi pengajian tinggi (IPT) yang memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah dan penerapan nilai integriti dalam kalangan mahasiswa.

“Penawaran kursus ini turut melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menggerakkan aktiviti pendidikan antirasuah di dalam kampus bagi menyebarluaskan mesej antirasuah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, mahasiswa yang berjaya menamatkan sesi latihan hingga semester empat akan menerima Sijil Kadet Integriti Muda dan menjadi nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan kelak.

Menerusi penganugerahan ini, diharapkan pegawai kadet Kor SUAR terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda nasional ke arah membentuk masyarakat yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button