Bekas pegawai Rafizi dijangka beri keterangan kepada SPRM esok
PUTRAJAYA – Bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai dijangka hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk dirakam keterangan, esok.
Menurut sumber, James dijangka hadir pukul 10 pagi esok bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan ARM Holdings Plc, syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK).
“Keterangan dia akan diambil untuk membantu siasatan kes,” kata sumber itu lagi.
Laporan media pada 1 April lalumenyebut, SPRM memberi tempoh dua minggu kepadanya untuk hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes pelaburan ARM yang bernilai RM1.12 bilion.
SPRM turut dilaporkan sebagai berkata, badan itu sanggup menampung kos penerbangan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berkenaan.
Sekiranya dia masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, SPRM mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk INTERPOL atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesannya.
Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion membabitkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.
Susulan laporan berkenaan, SPRM sudah merekod keterangan 17 saksi membabitkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






