SPRM siasat kelewatan agihan Baja 3 kepada pesawah Kedah
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Kedah.
SPRM Kedah menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) pada 26 Ogos lalu berhubung kelewatan pembekalan baja berkenaan, lapor Buletin TV3.
Susulan aduan itu, siasatan dijalankan terhadap pembekalan baja yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memenuhi keperluan kawasan seluas 100,000 hektar di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menurut SPRM, siasatan bukan sahaja tertumpu kepada aspek jenayah, malah turut merangkumi kemungkinan wujudnya kelemahan tatakelola yang menyebabkan berlaku kelewatan dalam pengagihan baja kepada pesawah.
Setakat ini, SPRM Kedah sudah merakam percakapan seorang saksi daripada PESAWAH selain menerima beberapa dokumen berkaitan untuk membantu siasatan.
SPRM turut menyambut baik gesaan dan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu berkenaan.
Dalam perkembangan sama, SPRM sudah berhubung dengan pihak KPKM dan MADA bagi mendapatkan maklumat serta menjalankan siasatan lanjut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








