Pemandu kereta merah tular langgar lari wanita sudah tampil beri keterangan – Polis Perak
IPOH – Seorang pemandu kereta berwarna merah yang tular selepas dirakam menggilis wanita yang maut bersama anak kecilnya dalam nahas berdekatan Terowong Menora, di sini 30 Mac lalu sudah tampil memberi keterangan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, semalam.
Katana, individu berkenaan sudah dirakam keterangan dan isu kes langgar lari membabitkannya dianggap selesai.
“Isu terbabit (langgar lari) selesai, pemandu kenderaan itu sudah tampil membuat laporan polis serta keterangannya sudah dirakam,” katanya, malam tadi.
Terdahulu, Noor Hisam ketika ditanya sama ada siasatan dan klasifikasi kes kenderaan yang melanggar mangsa nahas itu sebagai langgar lari dilaporkan berkata, kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, pemandu kereta Perodua Bezza iaitu suami kepada wanita yang maut dalam nahas itu kini berdepan kesukaran untuk memberi keterangan kerana masih trauma selain kesan kecederaan di mulut.
Katanya, lelaki itu menerima 15 jahitan di dalam mulut akibat kecederaan dalam nahas mengorbankan isteri serta anaknya itu.
“Pemandu masih lagi trauma dan sukar untuk beri keterangan kerana terdapat 15 jahitan di dalam mulut. Dia kini tinggal bersama keluarganya di Tanjung Malim,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menilai pembabitan kenderaan berwarna merah itu dalam kejadian kemalangan di Kilometer 264.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan.
“Kita turut menerima laporan dibuat ahli keluarga mangsa malam semalam (Jumaat) berkaitan kehilangan barang kemas milik mangsa,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, Nur Fatihah Badrul Hisyam, 26, bersama anaknya berusia dua tahun, Naira Falisya Abdul Rahman, maut dalam nahas berkenaan ketika dalam perjalanan ke Tanjung Malim dari kampung halaman Nur Fatihah di Kedah.
Nur Fatihah yang disahkan meninggal dunia sehari selepas kejadian dilaporkan hamil lapan bulan, dengan bayi dalam kandungannya gagal diselamatkan.
Dalam kejadian itu, suaminya, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, terselamat namun cedera parah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








