Penyelewengan RM1.1 bilion: SPRM nafi siasatan terhadap Rafizi
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kini sedang disiasat berhubung isu penyelewengan berjumlah RM1.1 bilion seperti yang didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, setakat ini agensi itu belum membuka sebarang kertas siasatan terhadap mana-mana individu berhubung dakwaan yang tular itu.
Menurut beliau, SPRM hanya sedang meneliti dokumen yang dikemukakan oleh tiga NGO sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
“Saya berpegang kepada kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Ahmad Khusairi Yahaya, bahawa pegawai penyiasat masih meneliti dokumen yang diserahkan.
“Jadi, timbul persoalan kenapa ada dakwaan kononnya serbuan terhadap individu tertentu akan dijalankan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Khusairi dilapor memaklumkan bahawa SPRM belum membuka kertas siasatan dan masih dalam peringkat penelitian dokumen yang diterima daripada NGO terbabit.
Semalam pula, SPRM mengesahkan menerima laporan dan sedang meneliti dokumen berkaitan dakwaan penyelewengan RM1.1 bilion yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan melalui kontrak dengan sebuah syarikat dari luar negara.
Sementara itu, Rafizi dalam sidang media bersama beberapa Ahli Parlimen PKR mendakwa, berdasarkan maklumat sumber dalaman SPRM, beliau akan diserbu oleh agensi berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








