BERITA SEMASA

2,157 titik wifi dipasang di UniSZA, perkukuh akses digital mahasiswa

KUALA NERUS – Sebanyak 2,157 titik capaian Wi-Fi telah dipasang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memperluas akses Internet berkapasiti tinggi kepada mahasiswa dan warga universiti.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk memperluas akses digital di institusi pendidikan tinggi, sekali gus menyokong pembelajaran, penyelidikan dan inovasi.

“Menerusi Projek USP Wi-Fi IPTA Fasa 2 dan Fasa 3, pemasangan 2,157 titik capaian itu meliputi Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA).

“Pelaksanaan projek berkenaan turut memperluas liputan serta meningkatkan kapasiti rangkaian di kawasan pembelajaran, penyelidikan dan kolej kediaman bagi memastikan warga kampus menikmati akses Internet yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke UniSZA, Kampus Gong Badak, hari ini bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan.

Selain itu katanya, sebuah menara komunikasi 4G di Kampus Gong Badak turut mula beroperasi pada Oktober 2026 bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rangkaian selular di sekitar kampus.

Katanya, di Terengganu, Projek USP Wi-Fi melibatkan 37 lokasi dengan nilai pelaksanaan kira-kira RM45.5 juta, merangkumi institusi pengajian tinggi awam, institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta institusi latihan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Sehingga 30 Oktober 2026, sebanyak 33 lokasi atau 89 peratus daripada keseluruhan projek di negeri itu telah siap dilaksanakan.

“Pada peringkat nasional, projek berkenaan melibatkan 538 lokasi di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM634.1 juta menerusi peruntukan USP,” katanya.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 467 lokasi atau 87 peratus telah siap dilaksanakan sehingga 30 Oktober lalu.

“Kemudahan internet berkualiti tinggi di institusi pendidikan dan latihan awam itu dijangka membantu melahirkan graduan berkemahiran digital yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara.

“Pelaksanaan Projek USP Wi-Fi mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan institusi pendidikan mempunyai akses kepada kemudahan digital yang berkualiti dan inklusif, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif kepada generasi masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button